ProTa 2026 – 75 projek inovasi anak Sabah & Labuan bersinar di KV Tawau

ProTa 2026 KV Tawau

TAWAU, 17 Februari 2026 – Sebanyak 75 projek inovasi dipamerkan dalam Pertandingan Inovasi Projek Tahun Akhir (ProTa 2026) Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 yang berlangsung pada 12 hingga 13 Februari di Dewan Tun Ahmadshah, Kolej Vokasional Tawau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Sandy Kahar bin Kaharuddin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Tawau. Dalam ucapannya, beliau menegaskan ProTa bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform mencungkil bakat dan memperkasa idea pelajar TVET agar lebih bersedia memenuhi keperluan industri.

Tuan Sandy Kahar bin KaharuddinTimbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Tawau
Tuan Sandy Kahar bin Kaharuddin

Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Yang Berusaha Tuan Zagina @ Sulaiman bin Ahmad pula berkata, penganjuran ProTa menjadi medan perkongsian ilmu serta mengukuhkan jaringan kolaborasi antara kolej vokasional di Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Yang Berusaha Tuan Zagina @ Sulaiman bin Ahmad, B.S.K. Pengarah Kolej Vokasional Tawau
Tuan Zagina @ Sulaiman bin Ahmad

Program anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi KV Tawau itu menghimpunkan penyertaan daripada KV Tawau, Labuan, Keningau, Kudat, Sandakan dan Lahad Datu. Pertandingan dinilai barisan juri profesional diketuai Ts. Dr. Tshin Lip Vui, Pensyarah Utama Politeknik Tawau.

Prota 2026

Sebanyak dua kategori utama dipertandingkan iaitu Kategori Hospitaliti dan Kategori Teknologi yang mempamerkan pelbagai inovasi kreatif merangkumi produk makanan berinovasi, kosmetik berasaskan bahan semula jadi, sistem automasi, aplikasi digital, peranti pintar serta alat bantu industri.

Antara projek yang mencuri tumpuan termasuklah “SMART DUSTBIN WITH NOTIFICATION” dari Kolej Vokasional Keningau yang meraih Anugerah Pembentang Terbaik, “PEMBANGUNAN PERMAINAN VIDEO EDUKATIF SEMANGAT MERDEKA” dari Kolej Vokasional Tawau yang menerima Anugerah Poster Terbaik serta “PUMPKIN CINNAMON PUFF” yang dinobatkan sebagai Booth Terbaik.

Bagi kategori anugerah utama, projek “MECHA VALVE TOOL: Inovasi Alat Bengkel Berkost Rendah bagi Mempercepat Pemasangan Valve Key Enjin” dari Kolej Vokasional Labuan telah meraih pengiktirafan tertinggi dengan pencapaian cemerlang Anugerah Platinum. Secara keseluruhannya, pertandingan menyaksikan penganugerahan pingat Emas, Perak dan Gangsa berdasarkan pemarkahan juri profesional daripada industri dan akademik.

Penganjuran ProTa 2026 jelas membuktikan komitmen berterusan institusi TVET dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja kompeten dari segi kemahiran teknikal, malah memiliki daya inovasi, pemikiran kritis dan semangat keusahawanan. Majlis penutupan berlangsung dalam suasana penuh semangat dan penghargaan, sekali gus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *