Kongsi fakta mengenai TYT boleh dipecat, Mahasiswa UMS ditahan polis, telefon dirampas

KOTA KINABALU, 4 Mac 2026 – Hanya disebabkan berkongsi fakta Perlembagaan Sabah yang memperuntukkan bahawa TYT Sabah bukanlah kuasa mutlak dan boleh dipecat , seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) didakwa kini ditahan, disiasat polis selain telefon miliknya turut dirampas.

Wakil Suara Mahasiswa UMS memaklumkan bahawa Sudirman Arshad, Mahasiswa Hubungan Antarabangsa UMS ditahan polis ketika hadir memberi keterangan di IPD Kota Kinabalu hari ini berhubung siasatan terhadap satu perkongsian di media sosial berkaitan kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah. Difahamkan, siasatan dan penahanan dibuat melalui Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Bersih Sabah menegaskan bahawa kandungan yang dikongsikan adalah berasaskan fakta perlembagaan yang jelas dan termaktub dalam undang-undang negeri. Menurutnya, menjelaskan peruntukan bahawa TYT boleh dipecat melalui proses dua pertiga Dewan Undangan Negeri bukanlah satu hasutan, sebaliknya pendidikan sivik yang sah dalam kerangka demokrasi berperlembagaan.

Gelombang solidariti masyarakat sivil

Penahanan Sudirman mencetuskan gelombang solidariti dalam kalangan aktivis masyarakat sivil dan gerakan mahasiswa seluruh negara seperti Borneo Komrad, Chaya Society, Liga Rakyat Demokratik, Mandiri, Liga Mahasiswa, Suara Siswa UM, Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, SURAM, Kesatuan Stateless dan banyak lagi.

Beberapa aktivis menyifatkan tindakan tersebut sebagai bentuk intimidasi terhadap wacana perundangan dan kebebasan bersuara, khususnya dalam kalangan anak muda yang terlibat dalam advokasi isu tadbir urus dan integriti institusi.

Mereka turut mempersoalkan komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap agenda reformasi, memandangkan undang-undang seperti Akta Hasutan masih digunakan terhadap aktivis dan mahasiswa.

Dalam kenyataan berasingan, beberapa pihak menggesa supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan sepenuhnya kerana dianggap tidak lagi selari dengan prinsip demokrasi moden dan sering digunakan untuk menekan suara kritikal.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi lanjut daripada pihak berkuasa berhubung tempoh tahanan atau langkah seterusnya terhadap Sudirman Arshad, yang juga Timbalan Presiden Suara Mahasiswa UMS.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *