TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) agar segera memulakan projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi yang telah diluluskan sebelum ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut penting bagi menyediakan akses pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk di kawasan pedalaman.
“Saya juga memohon pihak JKR untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang mana telah pun diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal tahun 2025 lalu dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gesaan itu disuarakan susulan insiden sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi berdepan detik cemas apabila dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi dalam kejadian pada pagi tadi.

Baca Juga:
- Fenomena ‘Blood Moon’ Hiasi Langit Malaysia Malam Ini
- Arsenal sekolahkan juara dunia Chelsea, tunjuk cara sebenar main bola sepak
“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah ‘brake gagal berfungsi’ kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi,” katanya.
Menurutnya, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan pergerakan kereta api berkenaan.
“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di landasan berjaya menghentikan kereta api tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan diterima setakat ini dan semua guru yang berada dalam kereta api itu dilaporkan selamat.
Jamawi yang merupakan wakil rakyat kawasan itu turut memohon agar Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya memohon dan mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan penuh akan perkara ini dan mengambil langkah-langkah segera agar peristiwa ini tidak berulang lagi,” tegasnya.
Beliau turut menekankan aspek keselamatan penumpang, khususnya guru-guru dan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama ke kawasan pedalaman seperti Pangi.
Menurutnya, pelaksanaan projek jalan raya Tenom–Pangi juga akan menjadi alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api di laluan berisiko.




