Pelajar menang saman KPM dalam kes guru ponteng – Tiada tindakan susulan, pampasan RM150,000 belum dibayar selepas 1,000 hari

Pelajar menang saman KPM dalam kes guru ponteng

KOTA KINABALU, 16 April 2026 – Kes saman bersejarah melibatkan isu ‘guru ponteng’ di Sabah kembali menjadi perhatian apabila kumpulan advokasi pendidikan, Tiada.Guru, mendakwa masih tiada tindakan susulan diambil terhadap pihak terlibat walaupun lebih 1,000 hari telah berlalu sejak keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023.

Kes itu bermula apabila tiga bekas pelajar dari SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu Calvina Angayung, Nur Natasha Allisya Hamali dan Rusiah Sabdarin memfailkan saman terhadap bekas guru Bahasa Inggeris mereka selepas mendakwa guru berkenaan gagal hadir mengajar selama tujuh bulan, sekali gus menjejaskan pembelajaran dan keputusan peperiksaan mereka.

Menurut kenyataan terbaharu Tiada.Guru yang turut dikongsikan semula portal Fisufi, kumpulan itu mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada tindakan disiplin atau jenayah dikenakan, selain mendakwa pampasan yang diperintahkan mahkamah kepada tiga bekas pelajar terbabit masih belum dibayar sepenuhnya.

Pada Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa hak pendidikan ketiga-tiga plaintif telah dilanggar. Mahkamah turut memerintahkan pampasan keseluruhan sebanyak RM150,000, iaitu RM50,000 kepada setiap plaintif, selepas mendapati beberapa defendan termasuk pihak sekolah dan kerajaan gagal menjalankan tanggungjawab mereka.

Peguam yang mewakili pelajar terbabit, Sherzali Herza Asli, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan masih belum membayar sebarang pampasan walaupun tiada perintah penangguhan pelaksanaan diberikan oleh mahkamah selepas keputusan tersebut.

Tiada.Guru turut mendakwa sepanjang prosiding berlangsung, beberapa plaintif dan saksi berdepan tekanan termasuk gangguan terhadap ahli keluarga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap perlindungan kepada individu yang tampil mempertahankan kepentingan awam.

Kumpulan itu menegaskan kelewatan melaksanakan penghakiman berkenaan bukan sahaja menjejaskan mangsa, malah menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti dalam sistem pendidikan negara.

Mereka kini menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab serta memastikan pampasan yang diputuskan mahkamah disalurkan tanpa terus ditangguhkan.\

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *