Kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion di Sabah diserahkan kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan penyelesaian projek.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata daripada jumlah itu, 37 projek kini berada pada peringkat prapelaksanaan.
Menurut beliau, langkah desentralisasi kuasa itu merupakan pendekatan proaktif bagi mengatasi kelewatan projek serta memastikan bekalan air lebih stabil kepada penduduk luar bandar di Sabah.
“Ini susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju sepenuhnya untuk menyerahkan pelaksanaan projek-projek BALB di Sabah terus kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Langkah menyerahkan projek bernilai besar RM4.06 bilion ini juga, merupakan bukti keyakinan dan kepercayaan penuh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap keupayaan pentadbiran Kerajan Negeri Sabah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan BALB kepada Kerajaan Negeri Sabah di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun juga Menteri Kewangan Sabah dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang.
Ahmad Zahid berkata langkah drastik itu diambil, bagi menyelesaikan masalah banyak projek BALB yang terbengkalai dan tertangguh, sebahagiannya sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada tahun 2016.

“Ada projek yang telah sepuluh tahun tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan birokrasi, terutamanya membabitkan kebenaran merancang, jajaran baharu spesifikasi lokasi, isu pelantikan perunding serta kontraktor, selain masalah tanah,” katanya.
Bagi merealisasikan inisiatif itu, Ahmad Zahid berkata projek-projek terbabit akan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan kerja-kerja pelaksanaan pula akan diterajui sepenuhnya oleh tiga agensi utama negeri iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah.
“Bagi memastikan setiap projek ini bergerak mengikut garis masa yang ditetapkan, sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) telah ditubuhkan.
“Jawatankuasa yang bermesyuarat mulai minggu hadapan ini, melibatkan pegawai KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), KPLB Sabah dan Setiausaha Persekutuan bagi memantau kelancaran projek secara ketat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa langkah penyerahan kuasa ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya dilakukan secara proaktif di luar kerangka perbincangan perjanjian tersebut, khusus demi manfaat serta kesejahteraan rakyat di Sabah.
Ahmad Zahid juga memuji komitmen pantas Kerajaan Negeri Sabah mendepani cabaran itu, apabila beliau dimaklumkan mengenai kewujudan 184 perjawatan baharu antaranya jurutera dan juruteknik, bagi melicinkan pelaksanaan projek terbabit.
Dalam memastikan agenda mensejahterakan rakyat tercapai, beliau menyeru agar semua perbezaan ideologi politik diketepikan, agar komitmen dan manifesto parti membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas dapat diterjemah kepada realiti.
“Kita merancang untuk meneruskan desentralisasi ini dan dalam masa dua minggu lagi, Menteri KPLB Sabah (Rubin) akan ke KKDW di Putrajaya bagi menyelaraskan penurunan kuasa untuk projek infrastruktur luar bandar yang lain,” katanya.




