Belum genap 24 jam, suspek kes rogol sudah berada di tangan polis

polis

TAWAU, 20 April 2026 – Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes rogol seorang remaja wanita berjaya diberkas polis dalam tempoh belum genap 24 jam selepas laporan dibuat.

Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai bermula apabila mangsa berada di sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central sebelum dibawa suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel. Dalam keadaan lemah dan tidak sedar sepenuhnya, mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah menjadi mangsa rogol.

Sejurus laporan diterima, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau (CID) segera melancarkan operasi mengesan suspek. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan di Kampung Pukat dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin bin Hussin berkata, suspek berusia sekitar 28 tahun dan semakan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya wanita, supaya sentiasa menjaga keselamatan diri, mengelakkan situasi berisiko dan kekal berwaspada walau di mana berada.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *