KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memperkukuh pemantauan aktiviti seismik di Sabah menerusi rangkaian 28 stesen seismik yang beroperasi di seluruh negeri bagi mengesan dan memantau kejadian gempa bumi secara berterusan.
MET Malaysia dalam kenyataan media bertarikh 27 September 2026 memaklumkan pemantauan dilakukan 24 jam sehari, susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di kawasan Kiamat, Kinabatangan pada jam 5.32 petang, 26 September lalu.
Antara stesen seismik yang terletak berhampiran lokasi kejadian ialah Sapulot pada jarak 57.23 kilometer, Keningau (66.51km), Sandakan/Telupid (74.36km), Matupang (76.67km) dan Tenom (93.32km).
Menurut MET Malaysia, pihaknya berusaha mengesan serta menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas, dengan maklumat berkaitan gempa akan disalurkan dalam tempoh enam minit selepas dikesan, tertakluk kepada ketersediaan data.

Bagaimanapun, agensi itu menjelaskan bahawa sehingga kini masih belum terdapat teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi dengan tepat.
MET Malaysia turut menegaskan bahawa gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum sesuatu kejadian berlaku.
Sebaliknya, stesen seismik berfungsi untuk mengesan serta menentukan magnitud gempa bumi selepas kejadian berlaku, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan disampaikan kepada orang awam dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi serta data pemantauan berkaitan.
Sekiranya terdapat potensi tsunami, MET Malaysia akan mengeluarkan maklumat dan amaran berkaitan melalui saluran rasmi.
Agensi itu turut menjelaskan bahawa pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan di sesuatu lokasi mampu memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat.
Namun, langkah berkenaan tidak bermaksud kejadian gempa bumi boleh diramal lebih awal.
MET Malaysia berkata pihaknya akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami hanya melalui saluran rasmi MET Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan atau penyebaran maklumat tidak sahih.