RMK13 Sabah: 1,173 projek dirancang dengan peruntukan RM12 bilion

RMK13

KOTA KINABALU, 23 April – Sabah merancang pelaksanaan 1,173 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk 933 projek baharu.

Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, keseluruhan siling peruntukan yang diluluskan ialah RM12.024 bilion, meningkat 141.62% berbanding RMK12.

Menurut beliau, pembangunan negeri akan dipacu melalui 10 bidang keutamaan yang disesuaikan dengan keperluan serta potensi Sabah.

Dalam tempoh lima tahun lalu, Sabah kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran global dan domestik, selain terus menarik pelaburan.

“Sebagai contoh, pelaburan sektor pembuatan mencecah RM7.6 bilion tahun lalu, meningkat hampir 208 peratus berbanding 2024,” katanya ketika berucap pada pembukaan sidang DUN Sabah.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan infrastruktur.

Pelan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ2.0) 2026–2030 menjadi kerangka utama dengan tiga fokus iaitu sektor ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta infrastruktur dan kelestarian hijau.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada ekonomi biru, pendigitalan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.

Usaha mengurangkan kemiskinan dan jurang bandar-luar bandar akan diperkukuh, termasuk melalui peningkatan kemudahan asas serta pelaksanaan lima fokus utama melibatkan perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan serta keusahawanan dan latihan.

Bagi merangsang ekonomi luar bandar, empat pekan baharu akan dibangunkan di Penangah (Tongod), Melalap (Tenom), Ulu Dusun (Sandakan) dan Beluran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *