Demo #TangkapAzamBaki gegar KL Sabtu ini

Demo #TangkapAzamBaki gegar KL Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Demonstrasi #TangkapAzamBaki dijangka menggegarkan ibu negara Sabtu ini apabila kumpulan masyarakat sivil bertegas akan terus turun ke jalan raya bagi mendesak reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan skandal melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Penyelaras MANDIRI, Hamdin Nordin, menegaskan himpunan itu tetap diteruskan walaupun timbul spekulasi mengenai kedudukan Azam Baki tidak akan disambung, kerana isu utama bukan sekadar soal lanjutan kontrak tetapi keperluan menyiasat secara menyeluruh dakwaan yang mencemarkan integriti institusi tersebut.

Menurut beliau, Azam perlu disiasat dan ditahan sekiranya wujud asas kukuh, manakala proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas ini perlu melalui penelitian Parlimen supaya lebih terbuka, telus dan bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik.

Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Pemandu BERSIH menegaskan proses pelantikan jawatan penting negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak boleh lagi dilakukan secara tertutup kerana ia melibatkan institusi yang mempunyai kuasa besar untuk menyiasat kes rasuah berprofil tinggi.

BERSIH berpandangan mekanisme sedia ada membuka ruang kepada persepsi bahawa institusi penguatkuasaan boleh dipengaruhi pihak eksekutif, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPRM.

Sehubungan itu, gabungan tersebut mencadangkan supaya calon Ketua Pesuruhjaya SPRM terlebih dahulu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum diperakukan kepada Perdana Menteri dan seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan rasmi.

Pada masa sama, BERSIH menegaskan tuntutan supaya RCI ditubuhkan masih relevan bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat” dalam SPRM serta sebarang penglibatan penjawat awam, ahli perniagaan atau pemimpin politik yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

Perhimpunan yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 25 April 2026 di Dataran Merdeka itu dijangka menghimpunkan ribuan aktivis, mahasiswa dan orang awam yang mahu melihat pembaharuan institusi dilaksanakan secara menyeluruh.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *