TAWAU, 9 Mei 2026 – Satu laporan polis telah dibuat oleh Hap Seng Properties yang mendakwa berlaku pencerobohan pagar sempadan berhampiran kawasan kejiranan Bandar Sri Indah (BSI), dipercayai berkaitan dengan isu pembukaan jalan ‘shortcut’ yang menghubungkan kawasan Prima dan Ranggu ke BSI.
Setakat ini, wakil rakyat kawasan terlibat dilihat masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu yang kini hangat diperkatakan dalam kalangan penduduk sekitar dan di media sosial.
Menurut kenyataan rasmi KRT Fasa 5 Bandar Sri Indah, laporan itu turut dibuat bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Penduduk selepas berlaku dakwaan kerosakan terhadap harta benda awam pada Jumaat lalu.

Isu berkenaan mula mencetuskan perdebatan apabila wujud perbezaan pandangan antara penduduk yang menyokong dan membantah pembukaan laluan tersebut.
Penduduk BSI yang membantah pembukaan jalan itu menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pertambahan trafik di kawasan perumahan, gangguan privasi, isu keselamatan kanak-kanak dan warga emas serta perubahan suasana kejiranan yang selama ini lebih tenang.
Satu poster bantahan yang beredar di media sosial turut memaparkan mesej seperti “Jalan short cut bukan penyelesaian, tapi masalah baru” dan “Hak penduduk BSI kena jaga”.

Dalam masa sama, gambar lain yang turut beredar di media sosial memperlihatkan sekumpulan penduduk dipercayai dari kawasan Ranggu mengangkat papan tanda menyokong pembukaan laluan tersebut.
Antara tulisan yang menarik perhatian ialah “Buka Jalan”, “Ini Jalan Awam”, “Road Reserve”, “Kami Sudah Lama Pusing Jauh” serta “Bukan Jalan Dato Dia”.
Difahamkan, sebahagian penduduk di kawasan luar BSI berharap laluan itu dibuka bagi memudahkan perjalanan harian mereka tanpa perlu menggunakan jalan yang lebih jauh untuk keluar masuk kawasan sekitar.

Di media sosial, ramai netizen turut melihat isu ini daripada sudut berbeza. Ada yang berpendapat laluan itu boleh membantu memudahkan akses penduduk Ranggu, Andrassy dan Prima ke Bandar Sri Indah serta berpotensi merancakkan kawasan komersial di situ.
Namun begitu, ada juga yang berpandangan kebimbangan penduduk BSI tidak boleh dipandang ringan memandangkan mereka merupakan komuniti yang tinggal secara langsung di kawasan perumahan tersebut setiap hari.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kemungkinan kesesakan di pintu masuk BSI pada waktu puncak, peningkatan kenderaan luar memasuki kawasan kejiranan, keselamatan penduduk serta risiko kerosakan jalan sekiranya laluan itu digunakan oleh lori dan kenderaan berat.
Malah, terdapat juga cadangan jalan tengah supaya sekiranya laluan itu benar-benar perlu dibuka, penggunaannya mungkin boleh dihadkan kepada kereta dan motosikal sahaja.
Setakat ini, status sebenar projek jalan tersebut, kelulusan berkaitan, isu hak milik tanah serta bentuk pengurusan laluan selepas dibuka masih belum diperjelaskan secara rasmi oleh pihak berkaitan.
#TawauKini