Remaja perempuan dakwa dirogol kenalan semasa pulang dari kenduri

remaja perempuan

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol selepas ditarik masuk ke rumah seorang lelaki yang dikenalinya ketika pulang dari majlis kenduri kahwin di kawasan perumahan pekerja ladang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa dikatakan diserang suspek sebelum mulutnya ditutup menggunakan kain bagi menghalangnya daripada menjerit meminta pertolongan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat oleh bapa tiri mangsa kira-kira jam 12.55 tengah malam tadi selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anak tirinya itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa ditahan ketika berjalan pulang sebelum ditarik masuk ke rumah suspek yang dikenalinya.

“Suspek kemudian dipercayai menutup mulut mangsa menggunakan kain sebelum bertindak merogol remaja terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai dengan kerjasama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Bhd telah melancarkan operasi mengesan suspek di kawasan ladang terbabit.

Katanya, hasil tindakan pantas itu, polis berjaya menahan seorang buruh warga asing berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja ladang di Brumas.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk pakaian dan tilam bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya melihat sebarang perlakuan mencurigakan demi keselamatan komuniti setempat.