Vaksin Influenza percuma khusus golongan 50 tahun ke atas

vaksin influenza

Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu menawarkan vaksin influenza percuma kepada warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas bagi mengurangkan risiko komplikasi kesihatan akibat jangkitan influenza.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Telipok, Dr. Nur Farahin Mohd Din berkata, influenza boleh menyebabkan komplikasi serius terutama melibatkan paru-paru, khususnya dalam kalangan warga emas.

Menurutnya, kos vaksin di klinik swasta boleh mencecah RM90, namun kerajaan menyediakan suntikan itu secara percuma kepada golongan layak.

“Kita mahu memastikan warga emas terutama di kawasan kampung tidak tercicir daripada menerima perlindungan kesihatan,” katanya ketika ditemui pada Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI, pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 penerima menerima vaksin sepanjang program berlangsung.

Selain vaksinasi, program itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk tekanan darah, indeks jisim tubuh (BMI) dan paras gula dalam darah.

Sementara itu, penerima vaksin, Steven Bedo, 60, berkata program berkenaan memudahkan penduduk kampung mendapatkan rawatan tanpa perlu menanggung kos pengangkutan ke klinik kesihatan.