KOTA KINABALU, 20 Ogos 2026 – Isu kekurangan kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali dibangkitkan apabila Suara Mahasiswa UMS mendakwa masalah berkenaan merupakan isu berpanjangan yang masih gagal diselesaikan secara tuntas.
Dalam kenyataan media bertarikh 19 Ogos, kumpulan mahasiswa itu mengecam tindakan pengurusan universiti berhubung pembatalan penempatan pelajar yang diumumkan menerusi notis bertarikh 17 Ogos lalu.
Menurut mereka, alasan penamatan kontrak dan isu penyelenggaraan serta pengoperasian ‘di saat akhir’ menunjukkan wujud kepincangan dalam urus tadbir yang perlu diberi perhatian serius.

Suara Mahasiswa UMS turut mendakwa isu ketidakcukupan fasiliti dan kapasiti perumahan pelajar telah dibangkitkan sejak awal penggal oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), namun menurut mereka, amaran tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Kami menegaskan bahawa isu ini bukan perkara baharu dan pengurusan UMS sepatutnya mempunyai pelan kontingensi yang proaktif,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan mahasiswa berkenaan turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertanggungjawab terhadap isu tersebut, terutama berkaitan keputusan menambah kuota pengambilan mahasiswa baharu tanpa terlebih dahulu memastikan kapasiti infrastruktur mencukupi.

Mereka mendakwa KPT perlu memastikan kemudahan kolej kediaman mampu menampung jumlah pelajar sebelum pengambilan baharu dibuat.
Pada masa sama, Suara Mahasiswa UMS mendesak penyelesaian segera terhadap isu Kolej Kediaman Numbak dan mencadangkan kemudahan berkenaan dibuka serta dimaksimumkan sebagai alternatif kepada kolej kediaman yang ditutup.
“Kami tidak mahu lagi janji manis ‘tindakan sewajarnya akan diambil’. Suara Mahasiswa mendesak pihak universiti dan KPT untuk membentangkan Pelan Tindakan Kecemasan secara telus dan segera,” katanya.
Mereka turut memberi amaran supaya pihak berkaitan menyediakan tempat tinggal yang kondusif dan berpadanan dengan kemarahan serta keresahan mahasiswa, sambil menegaskan kebajikan pelajar tidak seharusnya dipandang ringan.
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Suara Mahasiswa UMS, Akmal Rizal.