“This Year Is Ours!” – Lebih 100 Peminat Arsenal Sabah Berhimpun di Tawau Raikan Kejuaraan EPL 2026

TAWAU – Kemeriahan meraikan kejayaan kelab bola sepak gergasi England, Arsenal, jelas dirasai di Tawau apabila lebih 100 peminat setia pasukan itu berhimpun dalam satu acara khas ‘Tawau Gooners Champions Party 2026’ yang berlangsung di Rayyan Madani Cafe, Taman Semarak, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook oleh Amir Anuar, program berkenaan berjaya menghimpunkan penyokong Arsenal bukan sahaja dari Tawau, malah turut melibatkan peminat dari beberapa kawasan lain termasuk Felda Sahabat Lahad Datu, Felda Umas, Kalabakan, Semporna, Kunak dan Pulau Sebatik.

Acara tersebut diketuai oleh Penghulu Arsenal Tawau Fans (ATF), Weldyan Ahmad, sebagai simbolik meraikan pencapaian Arsenal yang berjaya muncul juara English Premier League (EPL) 2026.

Turut mencuri perhatian apabila YB Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif Sabah, hadir memeriahkan sambutan bersama komuniti peminat Arsenal di Tawau.

Dalam perkongsiannya, Amir turut merakamkan penghargaan atas kesudian pemimpin tersebut meluangkan masa bersama komuniti peminat bola sepak tempatan.

“Special thanks to YB Datuk Seri Dr Anil Sandhu, the State Assistant Minister of Youth Development, Sports Advancement and Creative Industries for joining the celebration together with us – Arsenal Tawau Fans (ATF),” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, pihak penganjur memaklumkan bahawa peminat Arsenal di Tawau dan kawasan sekitar dijemput untuk hadir bersama-sama memeriahkan gathering khas perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) 2026 yang menemukan Arsenal menentang Paris Saint-Germain (PSG).

Sesi tontonan bersama itu akan berlangsung di Rayyan Madani Cafe, Taman Semarak Tawau, pada 30 Mei 2026 (Sabtu) bermula jam 11.30 malam, sekali gus menjadi platform buat para penyokong memberikan sokongan padu kepada pasukan pilihan mereka dalam aksi final yang dinanti-nantikan.

Program itu dijangka menjadi medan penyatuan komuniti peminat Arsenal di Pantai Timur Sabah sambil bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dalam aksi final yang dinanti-nantikan.

Dengan slogan “This Year Is Ours!”, semangat para penyokong Arsenal di Tawau nyata cukup luar biasa, membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan, tetapi turut menyatukan komuniti merentasi daerah dan negeri.