KOTA KINABALU, 29 Mei 2026 – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi memohon untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kira-kira 200 hari selepas parti itu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada November tahun lalu.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, permohonan itu dikemukakan dalam satu pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hari ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selaras dengan mandat Majlis Tertinggi UPKO yang bersidang pada 25 Mei lalu dan memutuskan secara sebulat suara untuk menyertai gabungan berkenaan.
“UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Ewon berkata, perjuangan “Sabah First” yang dibawa UPKO dilihat selari dengan aspirasi GRS menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Katanya, elemen seperti “Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United” menjadi intipati yang mendekatkan UPKO dengan GRS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas keterbukaan menerima penyertaan UPKO ke dalam gabungan tersebut.
Pada 10 November 2025, UPKO mengumumkan keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta selepas mendakwa wujud perbezaan pendirian dengan kepimpinan PH di peringkat nasional berkaitan tuntutan hak Sabah, termasuk isu 40 peratus hasil negeri, satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta autonomi pentadbiran PH Sabah.
Ketika itu, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata parti itu merasakan hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, GRS ketika ini merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan yang dipimpin PH. Pada 8 November 2025, Ewon Benedick umum letak jawatan sebagai menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
#TawauKini