‘Semudah itu privasi boleh hilang’ – Khairul Aming serah kes kepada peguam

‘Semudah itu privasi boleh hilang’ – Khairul Aming serah kes kepada peguam

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming memaklumkan bahawa beberapa tindakan undang-undang telah diambil susulan dakwaan kebocoran data peribadinya yang disifatkan sebagai serius.

Menerusi satu hantaran di media sosial Threads (khairulaming) milik beliau, beliau berkata peguamnya telah menghantar Letter of Demand (LOD) kepada syarikat telekomunikasi Maxis berhubung isu berkenaan.

Selain itu, beliau memaklumkan laporan rasmi turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab dijalankan.

Khairul Aming turut berkata laporan berkaitan kebocoran data telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Menurutnya, pasukan peguam akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan kes tersebut sehingga selesai.

Dalam hantaran sama, beliau mengakui berasa sedih dan bimbang dengan insiden itu kerana menyifatkan kehilangan privasi boleh berlaku dengan begitu mudah sekiranya berlaku kebocoran data.

Beliau mendakwa maklumat yang boleh diakses termasuk butiran nombor telefon, sejarah pembayaran, rekod langganan serta nombor kad pengenalan yang digunakan untuk mengakses aplikasi MySara.