Like Fest Fun Run 2026 Meriah, Platform Sokong Belia dan Usahawan Tempatan

TAWAU – Program Like Fest Fun Run 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam aktiviti riadah sihat, malah turut menjadi platform memperkukuh sektor keusahawanan dan kreativiti anak muda di daerah ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program seperti itu memberi manfaat besar kepada masyarakat termasuk golongan usahawan kecil dan penjaja tempatan.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut sempena sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja memeriahkan suasana perayaan, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Saya ucapkan syabas kepada penganjur Like Fest Fun Run 2026 yang diterajui Saudara Absar selaku pengerusi penganjur bersama Cik Lian Natalia, seorang anak seni dan usahawan muda Tawau yang berjaya membawa program ini ke Tawau untuk kali kedua.

“Program seperti ini memberi peluang kepada usahawan, penjaja dan penjual makanan untuk menjana pendapatan di samping menghidupkan sambutan Kaamatan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Menurut Nizam, program berkonsepkan komuniti seperti itu juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.

“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, namun setiap perayaan diraikan bersama tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap lebih ramai golongan belia terlibat dalam aktiviti riadah dan sukan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

“Kesihatan amat penting bukan sahaja untuk golongan muda, tetapi juga masyarakat umum termasuk veteran kerana dengan kesihatan yang baik kita dapat menjalankan kehidupan dan pekerjaan dengan lebih teratur,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang melibatkan belia, sukan dan ekonomi kreatif termasuk membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan dan geran disediakan melalui kementerian serta agensi berkaitan termasuk bantuan peralatan kepada usahawan yang ingin memperbesarkan perniagaan mereka.

Selain aktiviti larian santai, program tersebut turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan hiburan, persembahan kebudayaan etnik serta jualan vendor tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.