Sabah Motor Day 9.0 kembali dan bawa mesej bebas dadah

Sabah Motor Day 9.0 kembali dan bawa mesej bebas dadah

Program Sabah Motor Day (SMD) 9.0 anjuran Skuad Antidadah Sabah ditetapkan pada 5 dan 6 September depan di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), selepas tarikh baharu dipersetujui hasil perbincangan bersama pihak universiti.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, program berkenaan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Menurutnya, penetapan tarikh baharu itu dibuat selepas kunjungan hormat pihaknya kepada Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur.

sabah motor day

“Sabah Motor Day 9.0 bukan sekadar himpunan komuniti permotoran, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyampaikan mesej gaya hidup sihat, berdisiplin dan bebas dadah kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

“Pendekatan melalui minat terhadap dunia permotoran dilihat lebih dekat dengan anak muda dan mampu menjadi medium berkesan untuk menyebarkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pameran, kempen kesedaran antidadah, penyertaan kelab-kelab permotoran serta program berkonsepkan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Katanya, program itu turut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan komuniti belia dalam usaha memperkukuhkan gerakan pencegahan dadah di Sabah.

“Komuniti permotoran mempunyai pengaruh besar dalam kalangan belia dan kita mahu menggunakan platform ini untuk membentuk budaya positif serta menjauhkan mereka daripada gejala dadah,” katanya.

Beliau turut mengajak peminat permotoran, golongan belia dan orang ramai supaya hadir memeriahkan Sabah Motor Day 9.0 yang membawa tema ‘Permotoran Berdisiplin, Belia Bebas Dadah’.

“Maklumat lanjut mengenai atur cara program dan penyertaan akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi penganjur,” katanya