Cadangan Sesi Permukiman HAWANA Disambut Baik, Media Tempatan Perlu Diberi Ruang Lebih Luas

Cadangan Sesi Permukiman HAWANA Disambut Baik, Media Tempatan Perlu Diberi Ruang Lebih Luas

BUTTERWORTH – Cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk mengadakan sesi permukiman bersama pengamal media pada setiap edisi Hari Wartawan Nasional (HAWANA) akan datang disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan industri media.

Ketua Pengarang Tawaukini, Abdul Salam bin Undong, berkata inisiatif tersebut amat penting bagi membolehkan pandangan dan maklum balas daripada organisasi media, khususnya media tempatan di kawasan masing-masing, dapat dikumpulkan secara lebih menyeluruh.

Ketua Pengarang Tawaukini, Abdul Salam Undong (kiri), bergambar bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir (dua kanan), serta Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui (kanan), sempena forum HAWANA 2026 di Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut beliau, sesi dialog yang diadakan sempena HAWANA 2026 merupakan platform yang baik, namun tempoh yang terhad dan jumlah peserta yang ramai menyebabkan tidak semua pengamal media berpeluang menyuarakan pandangan masing-masing.

“Cadangan mengadakan sesi permukiman ini sangat penting dan perlu dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas yang lebih menyeluruh daripada media tempatan di kawasan masing-masing.

“Sesi dialog yang diadakan sebelum ini mungkin tidak mencakupi sepenuhnya untuk mendapatkan respons daripada semua media yang hadir kerana kekangan masa dan jumlah peserta yang ramai,” katanya.

Abdul Salam berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media sempena HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, di sini.

Beliau yang turut dijemput menyertai sesi dialog tersebut berkata, platform berkenaan menghimpunkan pemimpin tertinggi organisasi media di Malaysia, ketua-ketua pengarang serta wakil persatuan media dari seluruh negara untuk bertukar pandangan mengenai masa depan industri media.

Turut hadir dalam sesi yang berlangsung hampir dua jam itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pengerusi Majlis Media Malaysia, Tan Sri Nallini Pathmanathan serta pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.

Menurut Abdul Salam, melalui sesi permukiman yang lebih tersusun dan berlangsung dalam tempoh lebih panjang, pelbagai persoalan berkaitan industri media dapat dibincangkan secara lebih mendalam selain memberi ruang kepada pihak kerajaan memahami cabaran sebenar yang dihadapi organisasi media.

“Dalam sesi seperti ini, banyak persoalan dan jawapan dapat diperolehi secara lebih terperinci. Ia bukan sahaja melibatkan soal dasar, tetapi juga isu kelangsungan dan kemampanan organisasi media, terutama media tempatan yang berdepan pelbagai cabaran dalam era digital.

“Kita berharap sekiranya HAWANA pada masa hadapan mempunyai sesi permukiman, ia akan lebih mengukuhkan lagi peranan kerajaan dalam membantu organisasi media serta memastikan suara media di peringkat akar umbi turut diambil kira,” katanya.

Beliau turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu platform penting bagi merapatkan jurang antara pembuat dasar dan pengamal media, sekali gus memastikan sebarang dasar atau inisiatif yang diperkenalkan benar-benar mengambil kira realiti industri semasa.

Terdahulu, Fahmi ketika sidang media selepas sesi dialog berkenaan mencadangkan supaya sesi permukiman bersama pengamal media dijadikan acara tetap pada setiap penganjuran HAWANA akan datang, dengan Majlis Media Malaysia (MMM) berperanan menyelaraskan pelaksanaannya.

Menurut beliau, sesi berkenaan bertujuan mengumpulkan maklum balas, pandangan dan cadangan daripada industri untuk disampaikan kepada kerajaan, termasuk berkaitan dasar, pindaan undang-undang serta isu kelangsungan dan kemampanan industri media.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang berlangsung sebelum ini menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti.”