Hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mula menampakkan hasil apabila kadar pengangguran di negeri ini terus mencatatkan penurunan kepada 5.5 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata angka itu menunjukkan penurunan berbanding 6.0 peratus yang direkodkan pada suku keempat tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penduduk bekerja di Sabah meningkat kepada 1.78 juta orang berbanding 1.76 juta orang pada suku sebelumnya.
“Pada masa sama, bilangan tenaga buruh turut bertambah kepada 1.89 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal tinggi pada 70.3 peratus.
“Pencapaian ini selari dengan prestasi sosioekonomi Sabah yang semakin positif hasil sentimen perniagaan yang memberangsangkan, prospek ekonomi yang terus menggalakkan serta kapasiti industri yang mencecah 78.7 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, Sabah berjaya mengekalkan momentum pemulihan pasaran buruh dan mencatatkan trend penurunan pengangguran secara konsisten.
Katanya, sejak merekodkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 8.2 peratus ketika kemuncak pandemik Covid-19, Sabah kini berjaya mengurangkannya kepada 5.5 peratus, iaitu penurunan sebanyak 2.7 mata peratusan dalam tempoh beberapa tahun.
“Ini mencerminkan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan GRS dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif serta berorientasikan penciptaan pekerjaan,” katanya.
Azrul berkata, antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan positif itu ialah kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan domestik dan asing, memperkasa sektor perkhidmatan awam negeri serta melaksanakan pelbagai inisiatif pekerjaan dan peningkatan pendapatan khusus kepada golongan miskin tegar dan miskin.
Beliau berkata, perkembangan itu turut diterjemahkan melalui penurunan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah daripada 9.4 peratus pada 2020 kepada 7.1 peratus pada 2024.
“Penurunan ini membuktikan usaha kerajaan negeri menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi mula membuahkan hasil apabila semakin ramai graduan dan anak muda Sabah memperoleh pekerjaan setanding dengan kelayakan mereka.
“Kejayaan ini dijangka akan terus diperkukuhkan menerusi pembangunan taman perindustrian baharu termasuk berteraskan ekonomi biru dan industri bernilai tinggi yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan lebih baik kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, trend penurunan pengangguran yang konsisten membuktikan pertumbuhan ekonomi Sabah bukan sekadar diterjemahkan dalam bentuk angka, sebaliknya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan pengangguran dan peningkatan taraf hidup.