Sebanyak 22 projek pembangunan yang dibiayai kerajaan persekutuan di Sabah kini berada dalam kategori “projek sakit” dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan pelaksanaannya kembali mengikut jadual.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beberapa faktor dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kelewatan projek, termasuk masalah berkaitan tanah serta kelemahan prestasi kontraktor yang dilantik.
Menurut beliau, isu tanah perlu ditangani secara lebih tersusun bagi mengelakkan projek terus tertangguh. Sehubungan itu, cadangan menubuhkan satu jawatankuasa atau mekanisme khas yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tanah wajar dipertimbangkan.
Katanya, langkah tersebut boleh dimulakan di Tawau, khususnya bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan projek tertentu seperti kerja menaik taraf Depot Tahanan Imigresen (DTI) Pakej 1 yang berdepan cabaran berkaitan perkara itu.
Beliau turut menegaskan bahawa projek yang mengalami kelewatan akibat kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab dengan baik perlu ditangani secara tegas, termasuk mempertimbangkan penggantian kontraktor jika perlu.
Menurutnya, kerajaan tidak mahu Sabah terus dikaitkan dengan jumlah projek sakit yang tinggi, justeru hanya kontraktor yang benar-benar berkeupayaan dan berprestasi baik harus diberi peluang melaksanakan projek pembangunan.
Beliau juga menggesa agensi berkaitan supaya memperketat pemantauan terhadap kontraktor bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan.
Mustapha berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat pembangunan daerah Tawau pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 83 projek pembangunan sedang direkodkan di daerah Tawau, dengan 44 daripadanya masih berada pada peringkat prapelaksanaan.