Maritim Malaysia Tumpas Sindiket Rokok Seludup RM24.2 Juta Di Perairan Sipadan

Maritim Malaysia Tumpas Sindiket Rokok Seludup RM24.2 Juta Di Perairan Sipadan

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM24.2 juta dalam operasi di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, semalam.

Kejayaan itu dicapai menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris hasil risikan yang dijalankan selama beberapa bulan berhubung aktiviti penyeludupan rentas sempadan di kawasan berkenaan.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali berkata, operasi berkenaan bermula selepas kapal ronda Maritim Malaysia, KM Kidurong mengesan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari kapal kargo berkenaan ke sebuah bot kumpit yang berada berhampiran.

maritim

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua vesel mendapati terdapat sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi sah,” katanya dalam sidang media di Tawau.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan 3,014 peti rokok terdiri daripada 2,956 peti jenama Bossqu, 40 peti New Iris, 15 peti Berlin dan tiga peti New Far.

Nilai keseluruhan rokok termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM24.2 juta, manakala nilai rampasan bersama dua vesel yang digunakan dalam kegiatan tersebut mencecah kira-kira RM65.7 juta.

Khairul Anuar berkata, siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai dibawa dari Vietnam sebelum dipindahkan ke bot pengangkut bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Baca Juga: ‘Ibu Ayam’ dihukum penjara 6 tahun, perdagang remaja untuk eksploitasi seks

“Sindiket dipercayai menggunakan kapal kargo sebagai pengangkutan utama sebelum memindahkan muatan kepada bot kumpit untuk diedarkan secara haram ke pasaran Malaysia, Indonesia dan Filipina,” katanya.

Dalam operasi sama, seramai 20 kru dan nakhoda berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kesemua individu terbabit terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Myanmar. Mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen kapal yang sah, selain bot kumpit yang digunakan tidak mempunyai pendaftaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.

Kedua-dua kapal bersama barang kes telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Zon Tawau untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan perairan Malaysia.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan.

SUMBER: BERNAMA