KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menemui spesies baharu kulat pembunuh serangga di Taman Bukit Tawau, Sabah, sekaligus menambah khazanah biodiversiti Borneo yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Penemuan spesies baharu yang dinamakan Metarhizium tawauensis sp. nov. itu diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa pada Rabu lalu.
Menurut kenyataan UMS, spesimen kulat berkenaan ditemui pada Januari 2023 di Taman Botani, Taman Bukit Tawau. Kulat tersebut dijumpai pada seekor serangga dewasa daripada order Hemiptera atau lebih dikenali sebagai “true bug” yang tertanam di dalam tanah berhampiran pokok orkid.
Identiti spesies itu disahkan menerusi pemeriksaan morfologi, mikroskop elektron imbasan serta analisis filogenetik pelbagai gen.
Penyelidik menjelaskan spesies baharu itu mempunyai beberapa ciri unik, antaranya stroma berwarna coklat gelap hingga kehitaman, peritesia yang tertanam, askospora bersepta banyak serta konidia berbentuk globus dengan dinding licin.
Kajian tersebut diketuai oleh penyelidik PhD Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), Muhammad Shahbaz, di bawah seliaan Profesor Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah serta University College Sabah Foundation.
Menurut Dr Jaya Seelan, genus Metarhizium kini mempunyai 92 spesies yang diiktiraf di seluruh dunia dan penemuan spesies baharu di Sabah membuktikan masih banyak kepelbagaian biologi di Borneo yang belum dikenal pasti secara saintifik.
“Kulat daripada genus Metarhizium terkenal kerana keupayaannya menjangkiti serta membunuh serangga. Beberapa spesies dalam genus ini telah digunakan dalam sektor pertanian sebagai alternatif semula jadi kepada racun perosak kimia,” katanya.
Beliau berkata, penemuan M. tawauensis turut membuka ruang kepada penyelidikan lanjut bagi menilai potensinya dalam pengurusan perosak secara lebih lestari.
Sementara itu, Pengarah ITBC, Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim berkata, penemuan berkenaan menjadi bukti bahawa hutan hujan Sabah masih menyimpan pelbagai khazanah biodiversiti yang belum diterokai.
“Setiap spesies baharu yang dikenal pasti merupakan sebahagian daripada warisan semula jadi kita. Selama 30 tahun, ITBC telah mendokumentasikan hidupan yang terdapat di hutan-hutan ini dan penemuan seperti ini menunjukkan usaha tersebut masih jauh daripada selesai,” katanya.
ITBC yang ditubuhkan pada 1996 meraikan ulang tahun ke-30 tahun ini. Sepanjang tempoh itu, institut berkenaan telah menyumbang kepada pelbagai penemuan spesies baharu di Sabah serta menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan institusi di Asia, Eropah, Australia dan benua Amerika.
Kajian tersebut dibiayai menerusi geran pascasiswazah UMSGreat (GUG0659-2/2023) serta Jabatan Perhutanan Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Spesimen holotaip bagi spesies baharu itu kini disimpan di Herbarium BORNEENSIS, UMS.
Sumber : The Star