Jalan luar bandar baharu Sabah, Sarawak bakal dipertimbang dalam Belanjawan 2027

Jalan luar bandar baharu Sabah, Sarawak bakal dipertimbang dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan pembinaan jalan luar bandar baharu di Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai akses ke bandar-bandar utama untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jalan luar bandar berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar utama serta penempatan sedia ada.

Menurut beliau, permohonan bagi kawasan yang masih tidak mempunyai jaringan perhubungan akan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027.

“Jika tiada akses perhubungan, kita akan masukkan permohonan tersebut dalam Belanjawan 2027,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang KKDW 2025 di sini, kelmarin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaan projek infrastruktur baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, KKDW akan memperincikan cadangan projek berkenaan selepas proses libat urus dengan pihak berkaitan selesai dilaksanakan.

Dalam ucapannya sebelum itu, Ahmad Zahid turut menyeru KKDW mengamalkan “disiplin baharu” dengan menghentikan program yang tidak memberi impak kepada rakyat, di samping mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang terbukti berkesan.

Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap dasar, perbelanjaan dan keputusan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

“Apa yang berjaya, kita perlu perluaskan. Apa yang perlahan, kita perlu percepatkan. Apa yang gagal memberi impak, kita perlu tambah baik atau hentikan. Itulah disiplin baharu yang saya mahukan dalam KKDW,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan luar bandar tidak lagi hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu mewujudkan ekosistem yang mampu menjana pendapatan dan peluang pekerjaan.

Selain itu, beliau berkata reformasi perkhidmatan awam bukan sekadar peralihan daripada sistem manual kepada digital, malah perlu bermula dengan perubahan minda, keberanian membuat keputusan serta kesediaan untuk berubah.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menggesa warga KKDW supaya terus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, memperkukuh budaya inovasi serta mengekalkan integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan.

– BERNAMA