Tawau – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau menahan 10 lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan menerusi Operasi Cegah yang dijalankan di beberapa lokasi strategik sekitar daerah ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi AADK Tawau, operasi yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Tawau pada Rabu (1 Julai 2026) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Menurut kenyataan tersebut, kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat AADK Daerah Tawau untuk menjalani ujian saringan air kencing serta siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang membolehkan mereka menjalani rawatan dan pemulihan sebagai usaha membantu keluar daripada belenggu ketagihan.
AADK turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah dengan menyalurkan maklumat atau mendapatkan khidmat nasihat melalui AADK Tawau di talian 089-768 830, Hotline AADK 1-800-22-2235 (AADK) atau 019-626 2233.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan AADK juga boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi www.aadk.gov.my.
Sumber: Facebook rasmi AADK Tawau