KOTA KINABALU: Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PEWANIS) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun ke-20 penubuhannya pada 25 Julai depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Pengerusinya, Datin Noraini Bahari berkata, majlis berkenaan bertujuan menghimpunkan warga pendidikan wanita di negeri ini, di samping mengumpul dana bagi membantu kebajikan warga pendidik.
Menurut beliau, kunjungan hormat PEWANIS ke Istana Seri Kinabalu pada Isnin diadakan bagi menjemput isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, untuk hadir ke majlis berkenaan, selain memohon kesediaan beliau menjadi penaung persatuan itu.
“Majlis ini bertujuan menghimpunkan warga pendidikan wanita di samping mengumpul dana bagi membantu kebajikan warga pendidik.
“Tujuan kunjungan hari ini adalah untuk menjemput Toh Puan Faridah ke Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun ke-20 penubuhan PEWANIS, selain berhasrat menjadikan beliau sebagai penaung persatuan ini,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat itu.
Noraini berkata, sepanjang penubuhannya, PEWANIS aktif melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada ahli serta komuniti pendidikan di Sabah.
Katanya, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk penganjuran bengkel pembangunan diri untuk pegawai wanita, selain bengkel akademik bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Selain menjaga kebajikan ahli, PEWANIS juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan guru dan pegawai wanita di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” katanya.
PEWANIS yang ditubuhkan pada 12 April 2006 memainkan peranan penting dalam memperkasa wanita di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menerusi pelbagai program pembangunan, kebajikan dan pendidikan.