KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melaksanakan sebanyak 21 projek pembangunan di Sabah bagi memperkukuh kapasiti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta memastikan akses pendidikan tinggi berkualiti terus dipertingkatkan di negeri itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata keseluruhan projek berkenaan melibatkan kos RM1.05 bilion, termasuk peruntukan siling Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM160.6 juta bagi tahun 2026.
Beliau berkata, KPT turut komited memperkukuh kepelbagaian program akademik di IPTA Sabah dengan sentiasa terbuka menerima permohonan program pengajian baharu daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), politeknik dan kolej komuniti di Sabah.
Menurutnya, setiap permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk kepakaran sedia ada universiti, keperluan semasa industri dan negara, kapasiti penyampaian institusi, permintaan pelajar, kebolehpasaran graduan serta keperluan mengelakkan pertindanan program antara IPTA.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, mengenai langkah kerajaan dalam menambah kapasiti serta memperluaskan kepelbagaian program pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam di Sabah.
Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 16 IPTA sedang beroperasi di Sabah dengan menawarkan pelbagai program pengajian kepada pelajar di negeri itu.
Zambry menegaskan, KPT akan terus memperkukuh kapasiti dan kepelbagaian program pengajian di IPTA Sabah bagi memastikan pelajar tempatan menikmati akses yang lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu bergantung kepada kampus di Semenanjung semata-mata.
Sumber : Berita RTM