Monyet kacau penduduk Balung, ADUN cadang bina mini Zoo jadi tarikan pelancong

Monyet kacau penduduk Balung, ADUN cadang bina mini Zoo jadi tarikan pelancong

Gangguan monyet yang semakin berleluasa di Balung Kokos, Tawau, mencetuskan cadangan supaya kawasan berkenaan dipertimbangkan sebagai lokasi mini zoo yang bukan sahaja mampu mengatasi masalah tersebut, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di laluan menuju ke Semporna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas, berkata penduduk di Balung Kokos telah lama berdepan gangguan daripada sekumpulan monyet yang didakwa merosakkan harta benda, termasuk mencabut atap dan merosakkan rumah penduduk.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan kerana terpaksa sentiasa berwaspada bagi melindungi kediaman masing-masing.

“Balung Kokos ini tempatnya cantik, tinggi dari atas laut, sejuk dan indah. Tetapi ada satu masalah, populasi monyet di kawasan itu sering mengganggu kehidupan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Syed Ahmad berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil oleh Jabatan Hidupan Liar bagi menangani gangguan haiwan berkenaan, termasuk menangkap monyet yang sering memasuki kawasan penempatan penduduk.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pendekatan tersebut boleh diperluaskan dengan menjadikannya sebagai satu peluang ekonomi menerusi pembangunan sebuah mini zoo di kawasan strategik sepanjang laluan ke Semporna.

“Kalau boleh pihak Jabatan Hidupan Liar tangkap dan kita buat mini zoo di sepanjang laluan ke Semporna. Jadi sambil orang pergi Semporna untuk menyelam, mereka boleh singgah melihat mini zoo dan ia boleh menjana pendapatan,” ujarnya.

Menurut beliau, cadangan itu mampu memberikan manfaat kepada pelbagai pihak kerana bukan sahaja dapat mengurangkan gangguan terhadap penduduk, malah membuka ruang ekonomi baharu kepada komuniti setempat melalui sektor pelancongan.

Beliau berkata, Balung Kokos mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan pemandangan semula jadi yang berpotensi menarik kehadiran pelancong jika dimanfaatkan dengan baik.

Dalam pada itu, Syed Ahmad turut menggambarkan kesukaran yang dihadapi penduduk akibat gangguan haiwan liar tersebut.

“Kehidupan penduduk yang terjejas akibat gangguan haiwan liar tersebut ibarat ‘mandi tak kenyang, makan tak lena, tidur tak basah’ kerana terpaksa berjaga-jaga bagi melindungi kediaman mereka,” katanya.

Beliau berharap peruntukan tambahan yang diluluskan oleh kerajaan negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu rakyat di kawasan Balung, termasuk menyelesaikan pelbagai isu asas yang dihadapi penduduk selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.