Belanjawan negeri perlu lebih realistik – Sarifuddin

Belanjawan negeri perlu lebih realistik – Sarifuddin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menyediakan anggaran belanjawan tahunan yang lebih realistik pada masa hadapan supaya dapat mencerminkan keperluan sebenar perbelanjaan kerajaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap peruntukan tambahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata, berkata walaupun tiada mana-mana wakil rakyat menolak keperluan kerajaan mendapatkan peruntukan tambahan bagi tujuan pembangunan, setiap perbelanjaan perlu melalui penelitian yang teliti bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah.

“Tiada mana-mana wakil rakyat yang menolak keperluan kerajaan mendapatkan peruntukan tambahan bagi tujuan pembangunan, namun setiap perbelanjaan perlu diteliti dengan sebaiknya supaya wang rakyat dibelanjakan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.

Menurut Sarifuddin, fungsi utama Dewan Undangan Negeri bukan sekadar meluluskan bajet negeri, malah memastikan setiap peruntukan yang dicadangkan mempunyai justifikasi yang jelas, memberi manfaat kepada rakyat serta bebas daripada unsur pembaziran, pertindihan projek dan ketirisan.

Beliau berkata, hasil penelitian terhadap cadangan peruntukan tambahan berjumlah RM1.61 bilion, termasuk RM435.54 juta bagi perbelanjaan pembangunan, mendapati peruntukan terbesar sebanyak RM233.7 juta disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, khususnya bagi pelaksanaan projek bekalan air.

Menurutnya, tambahan peruntukan bagi projek-projek seperti Rancangan Air Sabah dan kerja menaik taraf loji rawatan air adalah wajar kerana isu bekalan air masih menjadi antara masalah utama yang dihadapi rakyat di seluruh negeri, termasuk di kawasan Merotai.

Dalam masa sama, Sarifuddin turut mempersoalkan pertambahan peruntukan pelaburan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi ekuiti sebanyak RM210 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM280 juta bagi tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menilai semula keberkesanan GLC yang tidak memberikan pulangan kepada negeri selain mengelakkan pertindihan fungsi antara syarikat milik kerajaan bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keuntungan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan Kementerian Kewangan supaya memastikan unjuran belanjawan tahunan dibuat dengan lebih tepat memandangkan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM1.612 bilion bersamaan kira-kira 25 peratus daripada belanjawan asal berjumlah RM6.402 bilion, sekali gus menunjukkan anggaran awal tidak mencerminkan keperluan sebenar.

Walaupun membangkitkan beberapa perkara untuk diberikan perhatian, Sarifuddin menegaskan beliau tetap menyokong cadangan peruntukan tambahan berkenaan, khususnya yang melibatkan pembangunan infrastruktur seperti bekalan air dan jalan raya.

Beliau berharap setiap perbelanjaan yang diluluskan dapat dilaksanakan secara berhemah, berintegriti serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, terutama di peringkat akar umbi.