Dari Bilik Berita ke Dewan Persidangan, Wartawan Pantai Timur Sabah Dalami Proses DUN

Dari Bilik Berita ke Dewan Persidangan, Wartawan Pantai Timur Sabah Dalami Proses DUN

KOTA KINABALU – Empat wartawan media arus perdana dari Pantai Timur Sabah berpeluang mendalami perjalanan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerusi satu program pendedahan selama dua hari yang memberi peluang kepada mereka menyaksikan sendiri proses persidangan serta pembentukan dasar kerajaan negeri.

Program tersebut disertai wartawan daripada stesen penyiaran nasional dan akhbar tempatan yang berkhidmat di kawasan Tawau, Kalabakan, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, termasuk wakil daripada Amir Anuar (Daily Express), Tamrin Jamil (RTM Tawau), Ridzal Abdullah (Astro Awani) dan Hamzah Sanudin (Utusan Borneo).

Inisiatif itu dianjurkan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, bagi memberi pendedahan lebih mendalam kepada wartawan luar Kota Kinabalu mengenai fungsi Dewan Undangan Negeri dan proses penggubalan dasar.

May be an image of dais and text that says "క్రీం 는 4 Kedua PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN SABAH YAI G KTИPBr Br: AS KETUJI"

Sepanjang program, peserta bukan sahaja berpeluang mengikuti sesi perbahasan di dalam Dewan Persidangan, malah turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, serta Pembantu Menteri, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu.

Selain itu, rombongan turut dibawa melawat bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan dan operasi institusi legislatif negeri.

Menurut Rina, program berkenaan bertujuan memperkukuhkan pemahaman pengamal media terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri, selain memastikan wartawan yang bertugas di luar Kota Kinabalu mendapat gambaran lebih jelas mengenai proses demokrasi di Sabah.

May be an image of one or more people and dais

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program dapat dikongsi bersama rakan-rakan media lain dan dimanfaatkan dalam menghasilkan laporan yang lebih tepat, seimbang serta berlandaskan prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab.

Program seumpama itu dilihat mampu merapatkan hubungan antara pengamal media dan kerajaan negeri, di samping meningkatkan kefahaman terhadap peranan Dewan Undangan Negeri dalam proses pentadbiran dan pembangunan Sabah.

Sumber : Daily Express