TAWAU – Golongan pesara tidak seharusnya dilihat sebagai individu yang telah menamatkan sumbangan kepada negara, sebaliknya mereka masih merupakan aset berharga yang mampu menyumbang idea, pengalaman dan kepakaran demi pembangunan masyarakat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titinganberkata, ramai dalam kalangan pesara, khususnya bekas pegawai dan kakitangan kerajaan, pernah memegang jawatan penting serta mempunyai pengalaman luas yang masih relevan untuk dimanfaatkan.
“Saya melihat bahawa ramai dalam kalangan mereka yang memimpin Koperasi Mantan Kakitangan Majlis Perbandaran Tawau (KOMANTAB) dan persatuan bekas kakitangan terdiri daripada individu yang pernah memegang jawatan-jawatan tertinggi di agensi kerajaan, termasuk Majlis Perbandaran Tawau.
“Walaupun mereka telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, ia bukan menjadi halangan untuk mereka terus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan demi manfaat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Larian Amal Merdeka 2026 di Tawau.
Menurut Nizam, beliau amat menghargai kesediaan golongan pesara untuk terus berkongsi pandangan, nasihat dan pengalaman dalam membantu menjayakan agenda pembangunan di daerah itu.
“Saya mengalu-alukan dan menghargai sumbangan idea daripada mereka supaya setiap program pembangunan yang kita laksanakan benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi serta terus memajukan Tawau,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada KOMANTAB di bawah pimpinan Dr. Chacho Bulakatas penganjuran Larian Amal Merdeka 2026 dengan kerjasama Persatuan Pegawai dan Kakitangan Majlis Perbandaran Tawau serta sokongan Majlis Perbandaran Tawau.

Beliau berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan hampir 250 peserta yang tetap bersemangat menyertai larian walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Menurutnya, penganjuran program itu bukan sahaja menggalakkan budaya hidup sihat, malah mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Pada masa sama, beliau berkata objektif kebajikan program itu turut berjaya dicapai apabila sumbangan disampaikan kepada Pink Ribbon, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu wanita menghidap kanser.
“Program seperti ini sangat baik kerana menggabungkan aktiviti sukan, kebajikan dan perpaduan masyarakat. Saya berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai,” katanya.