KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi pembiayaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan, termasuk memperluaskan latihan tenaga kerja mahir dalam sektor kesihatan yang semakin mendapat permintaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu meliputi pembiayaan penerima sedia ada serta tajaan baharu bagi tahun 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar dengan penekanan kepada bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang kesihatan menerusi program pembangunan bakat yang akan memilih 30 anak Sabah untuk mengikuti pengajian Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.
Katanya, program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College.
“Usaha ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga profesional kesihatan yang berkemahiran, di samping membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang dijangka terus mendapat permintaan pada masa hadapan,” katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah ke-37, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan menyusuli pelaksanaan Program Pembantu Penjagaan Pesakit yang kini disertai 15 anak Sabah di IJN University College, diselaraskan oleh Yayasan Sabah menerusi University College Sabah Foundation.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Selain BKNS, katanya, kerajaan negeri turut memperluaskan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah, Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar serta skim bantuan kewangan bagi meringankan kos pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sejak diperkenalkan, BKNS telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM141.29 juta.
Sementara itu, Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang diperkenalkan pada 2022 telah membantu 15,629 penerima melibatkan peruntukan melebihi RM25 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menyalurkan lebih RM12.7 juta bagi bantuan pendidikan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, termasuk bantuan yuran pendaftaran dan tiket penerbangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Hajiji turut memaklumkan prestasi pendidikan Sabah menunjukkan peningkatan apabila negeri itu merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 dalam peperiksaan SPM 2025 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi kali pertama Sabah mencatat GPN di bawah paras 5.00.
Beliau turut menggalakkan pelajar memilih bidang pengajian yang selari dengan keperluan ekonomi masa depan Sabah, antaranya minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI).