KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuhkan peranannya sebagai suara golongan muda menerusi penyelarasan gerak kerja organisasi serta komitmen memperjuangkan pelbagai isu melibatkan anak muda di negeri ini.
Perkara itu menjadi antara fokus utama dalam mesyuarat pimpinan Pemuda GRS yang berlangsung pada Rabu bagi memperkemaskan gerak kerja organisasi, selain membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan perkembangan politik, ekonomi dan agenda pembangunan negeri.
Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J. Kurum berkata, mesyuarat berkenaan turut memperhalusi pendekatan serta tindakan yang akan digerakkan oleh sayap Pemuda GRS bagi memastikan suara dan aspirasi golongan muda terus diberikan perhatian.
“Pemuda GRS komited untuk terus menjadi suara anak muda Sabah dengan memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, antara keutamaan yang akan terus diberikan perhatian ialah peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, pembangunan modal insan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik.
“Antara fokus yang akan terus diberi perhatian ialah peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, pembangunan modal insan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda GRS akan terus memainkan peranan secara aktif dalam membawa suara generasi muda agar kepentingan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa sayap Pemuda GRS akan terus mendukung agenda pembangunan kerajaan negeri bagi memastikan Sabah terus bergerak ke arah masa depan yang lebih maju, stabil dan sejahtera.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.
Dalam majlis sama, berlangsung penyerahan surat pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pemuda GRS sebagai usaha memperkukuhkan struktur organisasi serta memperkemaskan pelaksanaan gerak kerja di semua peringkat.
Dengan penyelarasan organisasi yang diperkasakan, Pemuda GRS berharap dapat terus menjadi wadah yang membawa suara generasi muda, di samping menyokong usaha pembangunan negeri demi masa depan Sabah yang lebih baik.