TAWAU – Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners) tampil mengeluarkan penafian susulan penularan satu poster di media sosial yang mendakwa terdapat pengambilan kru bagi Tawau Marathon 2026.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Tawau Runners, pihak penganjur menegaskan bahawa poster berkenaan bukan bahan promosi rasmi yang dikeluarkan atau diluluskan oleh mereka.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pendaftaran melalui pautan atau kod QR yang terkandung dalam poster tersebut kerana kesahihannya tidak dapat dipastikan.
Pihak penganjur turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan Tawau Marathon 2026 melalui platform rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa penyebaran maklumat palsu.
Selain itu, mereka juga menggalakkan orang ramai melaporkan kepada pihak penganjur sekiranya menemui sebarang bahan promosi yang mencurigakan atau meragukan.
Dalam masa sama, Tawau Runners menjelaskan bahawa buat masa ini tiada sebarang kekosongan jawatan kru dibuka bagi Tawau Marathon 2026.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak kesahihan setiap hebahan di media sosial sebelum membuat sebarang pendaftaran atau berkongsi maklumat kepada orang lain.