TAWAU – Sambutan Bulan Kebangsaan di Tawau semakin terasa apabila masyarakat setempat daripada pelbagai lapisan tampil bersama-sama menyemarakkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026.
Penglibatan masyarakat menjadi antara perkara paling menonjol dalam pengisian KMJG di daerah ini apabila warga sekolah, pelajar, keluarga serta komuniti perumahan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berteraskan patriotisme.

Di PPR Batu 8, Tawau, semangat kemerdekaan diterjemahkan menerusi Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG), yang menggalakkan penduduk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
Kempen berkenaan bukan sekadar menceriakan kawasan perumahan dengan warna Jalur Gemilang, malah memberi peluang kepada setiap keluarga untuk memainkan peranan dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan.
Selain itu, komuniti di kawasan berkenaan turut terlibat dalam Ziarah Kasih Merdeka dan pengisian Jualan RAHMAH, menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan lebih dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.
Dalam kalangan generasi muda pula, warga Kolej Tingkatan Enam Tawau turut mengambil bahagian menerusi Merdeka Fun Run 1KM, yang disusuli taklimat agensi.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan, malah menyediakan ruang kepada golongan muda untuk berkumpul, beriadah dan menghayati nilai kemerdekaan dalam suasana yang lebih santai.
Semangat sama turut dapat dilihat di SMK Jambatan Putih, Tawau, apabila warga sekolah menyertai pelbagai aktiviti KMJG 2026 termasuk penanaman pokok yang menggabungkan unsur patriotisme, kebersamaan dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Kesemua penglibatan itu memperlihatkan bagaimana sambutan kemerdekaan mampu menjadi ruang untuk masyarakat Tawau berkumpul dan melakukan aktiviti bersama, tanpa mengira latar belakang.
Pengisian melibatkan kluster bangunan kerajaan di Wisma Persekutuan Tawau pula menjadi antara sebahagian daripada KMJG 2026, termasuk pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2026.
Namun, kemeriahan KMJG di Tawau jelas lebih bermakna apabila semangat tersebut turut dibawa keluar daripada bangunan rasmi dan diterjemahkan dalam kehidupan komuniti.
Daripada keluarga di kawasan perumahan, pelajar dan warga sekolah hinggalah golongan muda, masyarakat Tawau menunjukkan bahawa semangat patriotisme boleh dizahirkan melalui penglibatan dan kebersamaan.
Jalur Gemilang bukan sekadar berkibar di tiang, tetapi menjadi simbol penyatuan masyarakat Tawau dalam meraikan kemerdekaan bersama.