TAWAU – Suasana awal pagi di Kampung Titingan, Esbok Rombengan dikejutkan dengan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 70 lot kedai pakaian terpakai (bundle).
Kejadian yang berlaku awal pagi itu bagaimanapun tidak mengorbankan nyawa, malah tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan sekitar.

Menurut maklumat yang dikongsikan Facebook Sabah Dimensi, kebakaran membabitkan kawasan berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi, dengan lot kedai terbabit dilaporkan terbakar sehingga 100 peratus.
Api berjaya dikawal dalam tempoh singkat
Panggilan kecemasan diterima JBPM Sabah pada 4.44 pagi, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau tiba di lokasi pada 4.51 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.
Operasi pemadaman kemudiannya berjaya dikawal pada 5.23 pagi.
Pasukan bomba selepas itu meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bara api yang masih boleh mencetuskan kebakaran semula.

350 rumah dan lot kedai berjaya diselamatkan
Antara perkembangan penting dalam kejadian itu ialah kira-kira 350 rumah dan lot kedai berjiran berjaya diselamatkan daripada turut terjejas.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran berkenaan.
Operasi menyelamat dan pemadaman turut memperlihatkan kerjasama beberapa agensi apabila 16 anggota BBP Tawau dibantu 10 anggota Bomba Komuniti, selain 10 anggota PDRM, sembilan anggota APM dan dua anggota SESB.
JBPM turut memaklumkan bahawa lokasi kejadian tidak mempunyai liputan GIRN.
Maklumat lanjut berhubung kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.