Perjuangan Firdaus Ke UK Dapat Perhatian Pengerusi MARA, “Insya-Allah Dalam Perhatian Saya dan MARA”

Perjuangan Firdaus Ke UK Dapat Perhatian Pengerusi MARA, “Insya-Allah Dalam Perhatian Saya dan MARA”

TAWAU – Perjuangan Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman, anak muda asal Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau yang sedang mengusahakan kutipan RM20,000 bagi menampung kos visa pengajian ke United Kingdom (UK), mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki.

Perkara itu dizahirkan menerusi komen beliau pada hantaran TawauKini sebelum ini yang mengetengahkan kisah Firdaus, pelajar cemerlang yang menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Master of Pharmacy di University of Sunderland, UK.

“InsyaAllah dalam perhatian saya dan MARA. Saya sudah bercakap sendiri dengan pelajar ini dan ibu beliau,” tulis Dr. Asyraf Wajdi menerusi ruangan komen tersebut.

Perkembangan itu memberi sinar baharu kepada Firdaus yang kini sedang berusaha mendapatkan dana bagi menampung kos visa sebelum berangkat meneruskan pengajian di UK.

Firdaus merupakan bekas pelajar MRSM Tun Mustapha Tawau yang mencatat keputusan 8A+ dan 1A dalam SPM 2024, sebelum memperoleh CGPA 4.00 di Pusat Asasi UIAM.

Berasal dari Pulau Sebatik, Firdaus membesar bersama ibunya selepas kehilangan bapa sejak kecil. Kecemerlangan akademiknya membolehkan beliau menerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah yang menanggung yuran pengajian serta sara hidup, namun kos visa UK sebanyak RM20,000 masih perlu diusahakan sendiri.

Dalam temubual bersama Pasukan TawauKini sebelum ini, Firdaus berkongsi bahawa pengajian yang bakal ditempuh di UK mengambil tempoh empat tahun. Beliau juga menjelaskan bahawa bantuan yang diterimanya ketika ini tidak merangkumi kos visa berkenaan.

Justeru, usaha mengumpul RM20,000 itu diteruskan dengan harapan orang ramai dapat bersama-sama membantu membuka laluan kepada anak muda dari Sebatik itu merealisasikan impiannya.

Respons daripada Pengerusi MARA itu turut mencetuskan harapan baharu, khususnya selepas beliau memaklumkan telah berhubung secara langsung dengan Firdaus dan ibunya.

Dalam pada itu, masyarakat yang ingin membantu masih boleh menyalurkan sumbangan melalui saluran yang disediakan oleh Muafakat MRSM Tun Mustapha Tawau:

🔗 https://app.muafakatpay.com/muafakatmrsmtawau/pembiayaanvisabelajar

Sasaran kutipan: RM20,000

Kisah Firdaus bukan sekadar tentang kos sebuah visa, tetapi tentang usaha bersama memastikan seorang anak muda dari Pulau Sebatik tidak terhenti langkahnya untuk mengejar cita-cita.

Daripada Sebatik ke UK, semoga jalan Firdaus terus dipermudahkan.