TAWAU – Sabah menyasarkan kutipan 66 pingat emas pada Para SUKMA 2026 di Selangor yang bermula hari ini hingga 11 September, dengan hampir 200 atlet, pegawai pengurusan dan jurulatih negeri itu kini berada di lokasi pertandingan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi dan komitmen yang ditunjukkan atlet Para SUKMA Sabah sejak awal tahun.

Katanya, kontinjen Sabah akan beraksi dalam 10 acara yang dilihat berpotensi menyumbang pingat kepada negeri.
“Saya yakin kerana mereka ini telah memulakan latihan sejak awal tahun dan komitmen yang saya dapat lihat daripada peserta-peserta OKU atau Para SUKMA Sabah, insya-Allah mereka akan memberikan persembahan terbaik dan dapat memberikan pingat kepada Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bersama warga Rukun Tetangga Progresif Taman Semarajaya, yang turut menyaksikan penganjuran Kejohanan Bola Tampar Wanita bagi merebut Piala Rukun Tetangga Progresif Taman Semarajaya.
Menurut Nizam, sasaran 66 emas itu bersandarkan kepada pencapaian Sabah pada Para SUKMA 2024 di Kuching, Sarawak, apabila negeri itu berjaya meraih 62 pingat emas dan menduduki tempat kedua selepas tuan rumah.
“Saya rasa sasaran kita amat bersesuaian untuk kali ini supaya pencapaian kita lebih baik daripada tahun 2024 yang lalu,” katanya.
Beliau turut menyentuh pencapaian Sabah dalam SUKMA yang berlangsung bulan lalu, dengan menyifatkan kutipan pingat emas negeri itu menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian ketika temasya di Sarawak.
Dalam pada itu, Nizam berkata penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti seperti Kejohanan Bola Tampar Wanita di Taman Semarajaya juga penting sebagai platform mencungkil bakat baharu.
Walaupun Taman Semarajaya berada di luar kawasan ADUN Apas dan merupakan sebahagian daripada Parlimen Kalabakan khususnya DUN Merotai, beliau menghargai inisiatif Rukun Tetangga Progresif menganjurkan kejohanan berkenaan.

Katanya, program sedemikian bukan sahaja mampu melahirkan bakat sukan baharu, khususnya dalam kalangan wanita, malah mengeratkan hubungan serta memupuk keharmonian dalam komuniti.
“Saya berharap program kejohanan bola tampar ini akan dapat mencungkil lagi bakat-bakat baharu, khususnya dalam kalangan wanita yang boleh kita ketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Program-program kesukanan seperti ini juga dapat menyatupadukan rakyat dan komuniti walaupun kita berlatar belakang suku kaum dan agama yang berbeza,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak NGO, persatuan belia dan kelab sukan menganjurkan program seumpama itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi.