TAWAU – Penduduk Kampung Baru Pasir Putih kini mempunyai kemudahan baharu apabila bilik pengurusan jenazah untuk kegunaan masjid dan masyarakat setempat dirasmikan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandi berkata, kemudahan berkenaan merupakan satu perkembangan baik yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk, khususnya dalam membantu urusan pengurusan jenazah di kampung berkenaan.

Menurutnya, bilik pengurusan jenazah itu merupakan hasil kerjasama dan sumbangan daripada Pejabat Parlimen Kalabakan, Pejabat ADUN serta pihak masjid.
“Tetapi yang penting ialah impak yang dibawa, dan itulah yang lebih utama serta penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Maulid Rasul peringkat Kampung Baru Pasir Putih yang turut menyaksikan perasmian kemudahan berkenaan.
Andi berharap bilik pengurusan jenazah tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat serta memudahkan urusan penduduk apabila berlaku kematian dalam kalangan warga kampung.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan sambutan Maulid Rasul di Kampung Baru Pasir Putih sebagai program tahunan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.
Katanya, walaupun keadaan cuaca pada awal program menunjukkan tanda-tanda hujan, semangat kebersamaan penduduk yang menyertai perarakan dari masjid hingga ke perkarangan masjid membolehkan program berlangsung dengan lancar.
Beliau berkata, program seperti itu bukan sahaja menyemarakkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, malah mampu mengeratkan silaturahim dan meningkatkan keimanan masyarakat.
“Mudah-mudahan program seperti ini dapat merapatkan lagi silaturahim, meningkatkan keimanan dan seterusnya membawa kebersamaan dalam semangat orang-orang kampung,” katanya.