Raih 5 Pingat dan 1 Best Boxer! D’Sha Muayfit cemerlang di Sukan Tempur Kebangsaan, kini fokus ke Greece

Raih 5 Pingat dan 1 Best Boxer! D’Sha Muayfit cemerlang di Sukan Tempur Kebangsaan, kini fokus ke Greece

TAWAU – Barisan atlet Kelab D’Sha Muayfit yang dibawa ke Kejohanan Muaythai Sukan Tempur Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pulang dengan pingat, manakala seorang daripadanya turut dinobatkan sebagai Best Boxer kategori Bawah 10 Tahun (U10) lelaki.

Kejayaan itu dicapai menerusi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 6 September lalu.

Dua emas disumbangkan Ersyahbbel Asharie Bin Mohd Zaini dalam kategori U18, 60 hingga 65 kilogram, serta Harith Dazzel Bin Hari Irawan bagi kategori U10, 30 hingga 35 kilogram. Harith turut menerima pengiktirafan Best Boxer U10 Lelaki atas prestasinya dalam kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Zuran Khayruddin Amirudin Bin Abdullah meraih perak dalam kategori U16, 50 hingga 55 kilogram, manakala Deryllino Bin Dedy dan Isobel Qaisara Ady masing-masing membawa pulang gangsa dalam kategori U10, 25 hingga 30 kilogram dan U12, 30 hingga 35 kilogram.

Bagi D’Sha Muayfit, pencapaian itu bukan sekadar kutipan pingat, sebaliknya menjadi hasil daripada persiapan, disiplin dan komitmen atlet sepanjang latihan. Lebih menarik, perjalanan mereka belum berakhir di Bukit Jalil apabila kelab itu kini meletakkan sasaran seterusnya pada Kejohanan Remaja Dunia di Greece, membuka satu lagi pentas lebih besar buat atlet muda yang sedang dibentuk melalui Muaythai.