Tawan pentas Sukan Asia 2026! Atlet Sabah Adeola Fay Robert hadiah emas pertama Malaysia

Tawan pentas Sukan Asia 2026! Atlet Sabah Adeola Fay Robert hadiah emas pertama Malaysia

Aichi Nagoya – Atlet karate kelahiran Sabah, Adeola Fay Robert, mencipta detik membanggakan buat negara selepas menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Adeola, 20, memenangi acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada aksi final yang berlangsung di Toyohashi Gymnasium, Jepun, Selasa.

atlet sabah

Kemenangan itu hadir dalam penampilan sulung Adeola di pentas Sukan Asia, sekaligus menjadikan kejayaannya lebih bermakna apabila dia terus menyumbang emas pertama kontinjen negara.

Dalam perjalanan ke final, Adeola terlebih dahulu menewaskan Asrar Jasem dari Kuwait 9-1 pada pusingan 16, sebelum mengatasi Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7 di suku akhir.

Dia kemudian menundukkan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada peringkat separuh akhir untuk menempah tiket ke final.

Pada pertarungan penentuan pingat emas, Adeola bermula dengan baik apabila membuka kelebihan 4-0 sebelum Saeidabadi bangkit merapatkan kedudukan.

Bagaimanapun, atlet muda negara itu kekal tenang sehingga tamat perlawanan untuk memastikan kemenangan 6-4 dan emas buat Malaysia.

Kejayaan tersebut turut menamatkan penantian 12 tahun karate wanita Malaysia untuk kembali meraih emas di Sukan Asia.

Emas terakhir karate wanita negara sebelum ini hadir menerusi Syakilla Salni pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Adeola sebelum ini mula mencipta nama di pentas antarabangsa dan meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025 sebelum melakar pencapaian lebih besar menerusi kejayaan di Aichi-Nagoya.

Kemenangan itu turut membawa ganjaran istimewa apabila Majlis Karate Malaysia (MAKAF) dilaporkan menjanjikan sebuah Proton e.MAS kepada setiap atlet karate negara yang memenangi pingat emas di Sukan Asia kali ini.

Kejayaan Adeola sekali gus menjadi antara detik penting buat kontinjen Malaysia dalam saingan Sukan Asia 2026, selain mengangkat nama Sabah di pentas sukan tertinggi Asia.