TAWAU – Dua pelajar dari Tawau mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing meraih johan dan tempat ketiga dalam Pertandingan Pidato Celik MADANI (PCM) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Kota Kinabalu, semalam.
Lebih membanggakan, Nur Afifa Halwani binti Ahmad, pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, muncul johan kategori Sekolah Menengah Kebangsaan (Bawah).

Kejayaan itu turut dibimbing oleh guru pengiringnya, Suciaty binti Basran, sekali gus mengangkat nama SMK Balung dan Tawau di pentas pertandingan peringkat negeri.
Dalam kategori sekolah rendah pula, Nur Adelia Qeisya binti Rusdiansa, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Melodi, Tawau, berjaya meraih tempat ketiga. Nur Adelia dibimbing oleh Andi Faizah binti Paoseri.
Pertandingan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu menghimpunkan seramai 30 peserta pada peringkat akhir negeri Sabah, dengan peserta berentap dalam tiga kategori iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan (Bawah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (Atas).

Selain kejayaan dua wakil Tawau itu, Muhammad Faqrul Shahnie Tony dari Sekolah Kebangsaan St. Dominic, Lahad Datu, muncul johan kategori Sekolah Kebangsaan, manakala Vanesza Hana Ronalan dari SMK Likas, Kota Kinabalu, menjuarai kategori Sekolah Menengah Kebangsaan (Atas).
YADIM menerusi perkongsian rasminya memaklumkan pertandingan itu menjadi medan untuk anak muda berani bersuara, bijak berhujah serta menyampaikan pandangan dengan ilmu dan adab.
Kejayaan Nur Afifa dan Nur Adelia membuktikan bakat serta potensi pelajar dari Tawau mampu bersaing di peringkat negeri, selain menjadi pencapaian yang membanggakan sekolah dan guru yang membimbing mereka.
Pemenang pertandingan negeri Sabah itu seterusnya akan membawa suara Sabah ke peringkat kebangsaan.