47 Kontinjen, Hampir 6,000 Peserta Meriahkan Maulidur Rasul Di Tawau

47 Kontinjen, Hampir 6,000 Peserta Meriahkan Maulidur Rasul Di Tawau

TAWAU – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perbandaran Tawau berlangsung meriah pagi tadi dengan penyertaan kira-kira 6,000 peserta daripada 47 kontingen melibatkan pelbagai jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan agensi berkaitan.

Menteri Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sambutan itu menjadi manifestasi bahawa warga Tawau begitu cakna dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menurut beliau, sambutan yang berlangsung dengan jayanya itu turut mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza.

“Ini adalah merupakan satu manifestasi bahawa warga Tawau begitu cakna di dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Mudah-mudahan sesuai dengan tema pada tahun ini iaitu ‘Madani Dihayati, Umat Diberkati’, semua warga di Tawau dapat menghayati perjuangan sirah Nabi Muhammad SAW dan menjadikannya teladan untuk memperbaiki jalan kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata, kisah perjuangan dan teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW wajar dijadikan panduan oleh masyarakat tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

Katanya, walaupun masyarakat hadir daripada latar belakang yang berbeza, umat Islam tetap disatukan oleh kalimah yang sama.

“Walau apa pun kedudukan kita, siapa pun kita, yang penting ialah walaupun kita datang dari latar belakang yang berbeza, tetapi kita mempunyai satu kalimat Allah yang sama, La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah,” katanya.

Nizam turut menyifatkan ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW sebagai panduan yang terus relevan sepanjang zaman serta membawa nilai kehidupan yang baik kepada masyarakat.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat perbandaran itu sebelum ini menyaksikan perarakan bermula kira-kira jam 7.30 pagi dari Dataran Majlis Perbandaran Tawau menuju ke Dewan Masyarakat Tawau.