25 Tahun Satu Nama, Satu Kebanggaan, SK Melodi Tawau Sambut Jubli Perak

25 Tahun Satu Nama, Satu Kebanggaan, SK Melodi Tawau Sambut Jubli Perak

TAWAU – Genap 25 tahun, Sekolah Kebangsaan (SK) Melodi Tawau bakal meraikan detik istimewa sempena Sambutan Jubli Perak dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk warga sekolah dan komuniti.

Mengangkat tema “25 Tahun, Satu Nama, Satu Kebanggaan”, sambutan itu menjadi simbol perjalanan suku abad SK Melodi dalam melakar kecemerlangan dan menyemai generasi gemilang.

Sambutan akan berlangsung pada 24 dan 26 September 2026 bertempat di Dewan Terbuka Datuk Lo Su Fui, SK Kg Titingan.

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang sambutan, antaranya program berkhatan pada 23 September, ceramah kerjaya pada 17 September, selain pameran pendidikan dan agensi luar, karnival keselamatan dan kesejahteraan, karnival sukan rakyat/tradisional serta gerai jualan makanan dan minuman pada 24 dan 26 September.

Turut dianjurkan ialah pertandingan mewarna dan melukis doodle, selain Melodi Got Talent yang dijadualkan pada 26 September.

Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah, sekali gus memeriahkan lagi sambutan jubli perak berkenaan.

Kemuncak sambutan turut menyaksikan perasmian kapsul masa SK Melodi pada 26 September, sebagai satu simbol kenangan dan catatan perjalanan sekolah untuk generasi akan datang.

Sambutan berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan organisasi, antaranya RTM Sabah, RTM Tawau, Jabatan Penerangan Daerah Tawau, Pertubuhan Peladang Kawasan Tawau, AADK Tawau, Klinik Kesihatan Tawau, SSPN, LHDN Malaysia, Polis Diraja Malaysia, PGA, Pos Malaysia, Co-opbank Pertama dan FAMA.

Sambutan 25 tahun itu diharapkan bukan sahaja menjadi medan mengimbau perjalanan SK Melodi, malah mengeratkan hubungan antara warga sekolah, alumni, ibu bapa, komuniti serta rakan strategik.

Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan istimewa ini.

🎉 25 Tahun, Satu Nama, Satu Kebanggaan.
📅 24 & 26 September 2026
📍 Dewan Terbuka Datuk Lo Su Fui, SK Kg. Titingan