SEREMBAN, 21 September 2026 – Tidak sampai 24 jam selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Ismail Lasim tampil memberikan penjelasan berhubung kedudukan perundangan bagi tindakan berkenaan.
Dalam kenyataan media pada Isnin, Ismail menegaskan bahawa sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian EXCO tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar merupakan “kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.”
Menurut beliau, tafsiran mengenai kedudukan dan tempoh perjawatan EXCO perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Ismail berkata, Perkara 40(1) UUTKNS 1959 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran atau eksekutif negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran hanya meliputi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2), dan kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termasuk dalam perkara tersebut.
“Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan. Ia wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1),” katanya.
Ismail berkata, berdasarkan tafsiran tersebut, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa dirinya tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Kenyataan Ismail itu dibuat selepas Istana Negeri Sembilan mengumumkan pada malam Ahad bahawa Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas Baginda mendapati kesemua EXCO terbabit telah memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.
Istana turut menyatakan bahawa Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) UUTKNS 1959.
Ismail bagaimanapun menegaskan Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat dipelihara berlandaskan undang-undang.
#TawauKini