TAWAU: Sebuah Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan selepas pemandunya terpijak pedal minyak sebelum merempuh sebuah premis perniagaan dan Toyota Innova di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, 29 September 2026, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Myvi terbabit hendak keluar dari petak parkir selepas selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Menurutnya, pemandu berkenaan dipercayai terpijak pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan lalu merempuh sebuah premis perniagaan.
“Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang sedang diletakkan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.
Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan teruk, manakala pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu berkenaan turut didapati negatif dadah.
Ujian pernafasan kemudian dijalankan di Pejabat Trafik IPD Tawau.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sjn Mohd Hanafi bin Mat Sari, di talian 019-886 7715, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memberi perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak dan brek.
Pemandu kenderaan transmisi automatik atau manual juga diingatkan supaya memastikan gear berada pada kedudukan yang betul sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sumber : Polis Daerah Tawau