KUALA LUMPUR – Persiapan yang agak singkat kerana komitmen terhadap peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak menghalang wakil Sabah, Mohammad Syahrie, mencipta kejayaan apabila muncul juara Pertandingan Akhir Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan 2026.
Pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam, Sandakan itu berkata kejayaan berkenaan di luar jangkaannya kerana pada awalnya beliau hanya menyasarkan untuk mara ke peringkat tertentu dalam pertandingan tersebut.
Namun, dengan masa persiapan yang terhad, Syahrie tetap berusaha menyiapkan dan menghafal teks pidatonya, selain melakukan latihan di rumah serta mendapatkan bimbingan dan maklum balas daripada guru dan rakan-rakan.
Menurutnya, teks pidato yang disampaikan turut dihasilkan menerusi perbincangan bersama guru bagi memastikan kandungannya bersesuaian dengan tema pertandingan.
Pada pertandingan itu, Syahrie menyampaikan pidato bertajuk “Malaysia MADANI: Bahasa Melayu Pemangkin Kemajuan Negara” pada sesi pertama sebelum membawakan tajuk “Krisis Moral dalam Kalangan Pelajar, Siapa Bertanggungjawab?” pada sesi akhir.
Kejayaan itu membolehkan Syahrie membawa pulang Piala Pusingan Diraja, wang tunai RM10,000, sijil penghargaan serta buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pertandingan akhir yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur itu menghimpunkan 16 peserta dari seluruh negara.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Noorsolihin Mohd Taufiq dari SMK Syed Alwi, Perlis, manakala tempat ketiga disandang Lenithraa Sai Kanagalingam dari Kolej Tingkatan Enam Sri Istana, Klang, Selangor.
Pertandingan bertemakan “Bahasa Minda Bangsa, Tonggak Malaysia MADANI” itu bertujuan memupuk penguasaan bahasa Melayu, pemikiran kritis serta keupayaan berhujah dalam kalangan pelajar prauniversiti.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Kemenangan Syahrie turut diserikan dengan kejayaan sekolahnya menerima Anugerah Montaj Terbaik berserta wang tunai RM1,000.