KINABATANGAN – Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dilihat hanyut dipercayai dibawa arus di Sungai Kinabatangan, di sini, pada petang Rabu.
Bangkai berkenaan dilaporkan dilihat oleh penduduk sekitar 4.30 petang sebelum hanyut menuju ke kawasan Sukau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut, namun kakitangan JHL Kinabatangan tidak dapat ke lokasi pada petang berkenaan disebabkan kekangan logistik.
“JHL telah maklum dan kakitangan JHL Kinabatangan sedang membuat pencarian awal pagi tadi.

“Buat masa ini, saya masih belum mendapat maklumat terperinci bangkai yang ditemui,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa gajah berkenaan berada dalam keadaan sakit sebelum ditemui mati.
“Ya, begitu maklumat daripada orang awam (dikatakan sakit), tetapi aduan tidak sampai ke JHL Kinabatangan,” katanya.
Sementara itu, penemuan bangkai gajah berkenaan turut mendapat perhatian selepas satu video tular di media sosial memaparkan bangkai haiwan tersebut hanyut di sungai.
Setakat ini, maklumat lanjut mengenai keadaan bangkai, punca kematian serta lokasi sebenar bangkai berkenaan masih belum diperoleh daripada pihak JHL Sabah.