KOTA KINABALU, 7 Oktober 2026 – Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 yang dirancang sejak 2015 masih jauh daripada siap sepenuhnya apabila hanya empat daripada 35 pakej kerja berjaya disiapkan setakat 31 Mac 2026.
Lebih membimbangkan, empat pakej tersebut hanya mewakili 11.4 peratus keseluruhan projek sepanjang 706 kilometer, manakala baki 31 pakej kerja atau 88.6 peratus masih dalam pelaksanaan.
Perkara itu didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai Pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.
Menurut laporan itu, projek berkenaan pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 69 bulan, bermula 11 April 2016 dan sepatutnya siap pada 31 Disember 2021.
Namun, sehingga 31 Mac 2026, projek masih belum disiapkan sepenuhnya selepas lebih 10 tahun dirancang.
Audit mendapati hanya empat pakej kerja dengan kos asal RM567 juta telah disiapkan, manakala 31 pakej yang masih berjalan mempunyai nilai kontrak berjumlah RM16.319 bilion.
Lebih mengejutkan, daripada 31 pakej yang masih dalam pelaksanaan itu, sembilan dikategorikan sebagai projek sakit, 13 lagi lewat jadual manakala sembilan pakej mendahului jadual.
Antara projek sakit yang dikenal pasti ialah WP01, WP04 dan WP10, yang masing-masing sepatutnya siap pada Februari 2026, November 2025 dan November 2024.
Ketiga-tiga pakej berkenaan turut dikenakan Liquidated and Ascertained Damages (LAD) masing-masing berjumlah RM3.30 juta, RM9.17 juta dan RM32.59 juta.
Tarikh siap kini dilanjutkan sehingga 2030
LKAN turut mendedahkan bahawa kelewatan projek bukan lagi sekadar beberapa bulan.
Berdasarkan lanjutan masa (EOT) dan kontrak baharu, tarikh penyiapan keseluruhan Projek LPB Sabah Fasa 1 kini telah dilanjutkan sehingga 2030.
Sebanyak 73 EOT telah diluluskan dengan tempoh antara 144 hingga 2,191 hari. Bagi Fasa 1A sahaja, 66 EOT diluluskan, manakala tujuh lagi bagi Fasa 1B.
Audit turut mendapati empat pakej yang telah siap itu sendiri memerlukan EOT antara 756 hingga 1,470 hari sebelum dapat disiapkan.
Antara punca kelewatan yang dikenal pasti termasuk masalah penyediaan tapak, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perubahan reka bentuk serta kelemahan pelaksanaan oleh kontraktor dan perunding.
Bagi isu pengambilan tanah, sehingga 31 Mac 2026, masih terdapat 99 struktur belum dirobohkan dan RM144 juta pampasan belum dibayar bagi Fasa 1A, manakala Fasa 1B pula melibatkan 3,360 struktur belum dirobohkan dan RM84 juta pampasan belum dibayar.
Kos projek turut meningkat
Kelewatan itu turut memberi kesan kepada kos keseluruhan.
LKAN melaporkan kos kontrak keseluruhan projek meningkat daripada RM17.910 bilion kepada RM18.960 bilion.
Bagi Fasa 1A pula, kos semasa dianggarkan mencecah RM11.323 bilion, iaitu RM987 juta atau 9.5 peratus melebihi kos siling asal RM10.336 bilion.
Audit turut menemukan beberapa isu pengurusan kewangan dan kontrak, termasuk 57 Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM513.99 juta yang diluluskan melebihi had kuasa ditetapkan.
Daripada jumlah itu, 46 APK bernilai RM499.83 juta tidak dikemukakan untuk kelulusan Kementerian Kewangan, manakala 11 APK bernilai RM14.16 juta tidak dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya. Audit menyifatkannya sebagai “ketakteraturan serius”.
Selain itu, RM41.37 juta tuntutan kos pengalihan dan pemasangan semula utiliti bagi projek yang telah siap masih belum dituntut semula daripada syarikat utiliti walaupun melebihi enam bulan selepas Sijil Perakuan Siap (CPC) dikeluarkan.
LKAN turut merekodkan ketirisan dana Kerajaan RM6.03 juta melibatkan bayaran Levi CIDB, kos RM32.95 juta yang ditanggung Kerajaan akibat isu bon dan insurans, serta pembayaran tidak teratur berjumlah RM163.64 juta susulan kelewatan penyempurnaan dokumen kontrak.
Audit akhirnya mengesyorkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya Sabah memastikan isu penyediaan tapak, pampasan, pengalihan utiliti, perubahan reka bentuk, pelantikan kontraktor serta langkah pemulihan projek diselesaikan mengikut garis masa ditetapkan supaya projek dapat disiapkan berdasarkan recovery plan.
Untuk rekod, laporan Utusan turut melaporkan angka utama 11.4 peratus, 31 pakej masih dalam pelaksanaan, sembilan projek sakit serta isu APK RM513.99 juta dan tuntutan utiliti RM41.37 juta.
#TawauKini