TAWAU: Seramai 14 pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 6 petang, 6 Oktober 2026.
Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan tindakan mengesan sebelum berjaya menahan 14 individu terbabit pada 7 Oktober.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum berlaku pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.
“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 8 Oktober.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Rosdi berkata, salah seorang individu yang ditahan merupakan warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Siasatan terhadap individu berkenaan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kes utama pula disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditangkap,” katanya.
Polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan tangkapan, selain mendapatkan laporan perubatan daripada mangsa serta menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Rosdi turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan apa-apa objek sebagai senjata merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
Beliau pada masa sama menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak, manakala pelajar diingatkan agar tidak terlibat dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.
“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat,” katanya.